Tuesday, August 16, 2011

Ramadhan kali ini (edisi 1432H)

Alhamdulillah..bertemu juga Ramadhan pada tahun ini. Cuma aku tak berapa yakin prestasi aku macam mana, seperti tahun-tahun sudah juga, terawih entah ke mana, puasa pun entah tahap berapa. Lagi-lagi tahun ni, aku baru lepas bersalin anak ketiga pada 28 Mac 2011, dengan dua orang lagi otomen (as they refer themselves) yang tengah lasak. Seorang umur 4 tahun, sorang lagi 2 1/2 tahun. Jadi, puasa tahun ni pada awalnya aku bimbang dengan tahap kesabaran yang tak berapa sabar. Tambahan pula dengan si kecik tengah kuat menyusu badan, pasti cepat lapar, haus dan letih. Dan fitrahnya manusia bila lapar memang cepat marah. Dengan trigger di sekeliling, tak mustahil apa yang aku bimbangkan untuk puasa tahun ini akan berlaku.

Tetapi so far, hari ini ke-15 hari Ramadhan, keadaan puasaku dari penilaian tahap kesabaran tu ada menunjukkan peningkatan prestasi daripada tahun lepas. Alhamdulillah, Allah yang memberi segala kekuatan. Aku punya la berdebar-debar semasa mula-mula memasuki Ramadhan, bimbang aku mensia-siakan Ramadhan tahun ini dengan sekadar lapar dahaga, sedangkan Ramadhan akan datang entahkan berjumpa entahkan tidak. Itu hanya penilaian dari segi tahap kesabaran. Dari satu segi lain, aku sedang bercuti tanpa gaji menjaga anak, maka aku agak selamat dari segi mengharungi politik dan gosip pejabat. Alhamdulillah rezeki aku dari segi itu walaupun tak masuk gaji dalam poket... Apa-apapun, aku bukan orang selayaknya nak menilai puasa aku tahun ini macam mana sebab bak kata Wardina, "kita tiada thermometer pengukur tahap ketakwaan seseorang", kerana semuanya hanya dalam penilaian Allah. Wallahualam.

Hmmm...semalam birthday ke-35 husband. Aku mendoakan keberkatan umur dan kemurahan rezeki kepada suami tercinta, semoga senantiasa dirahmati-Nya, sentiasa berada dalam lindungan-Nya, dan sehingga bercinta sampai syurga. Doa panjang umur tapi panjang yang tak diredhai pun tak best juga.

Kenapa baru update? Adatlah bagi aku yang sibuk dengan anak-anak, tapi dalam masa yang sama tu sempat jugak la main Farmville. Aku kata kat husband, ini je aku punya "rokok" yang menenangkan aku buat masa sekarang sambil menghadap karenah harian anak-anak, itupun husband banyak bantu dengan memandikan anak-anak dan sebagainya. Kiranya aku sangat bertuah walaupun pada masa yang sama otak aku kust jugak dengan ntahapa mende. So far "berkebun" terapi minda aku sambil memerhati anak-anak. Aku mengaku belum sampai (insyaallah sampai) tahap berzikir setiap masa sebagai terapi minda huhuhu...dalam keadaan sekarang, solat pun sering buat wajib sahaja, dan waktu tu memang takdenye nak awal waktu sebab kalau aku sorang2 di rumah dengan anak-anak, bimbang tengah2 solat tu anak-anak entah buat apa kat si adik, entah jumpa apa kat dapur...huishhh nauzubillah la...payah nak tenang solat. Walaupun itu bukan alasan kukuh, tapi saat sekarang aku bukannya solehah sangat nak menentang perasaan sendiri agar tenang (jauh lagi nak khusyuk sekhusyuk para salafussoleh) dengan mendengar hiruk-pikuk anak-anak di sekeliling. Lagi-lagi saudara baru macam aku ni, banyak sangat serangan was-was...ni pengakuan jujur huhuhu
Hmmm teringin pulak nak duduk kampung dan berkebun yang real punya, dapat jugak hasil yang real...

Bangun sahur ku 3.30am. Tidur malam dapat la 2 jam ke, ganti tidur esok hari lepas subuh. Hari-hari macam tu, sebab anak-anak tidur lewat terutama si abang. MEmang dah pattern anak-anak tidur jam tu agaknya bila umur dalam lingkungan 1-3 tahun, sebab si kakak pun tidur lewat juga malam semasa seusianya. Lampu padam gelap-gelap pun main basikal tiga roda lagi. Bila dah besar sikit, baru jam tu normal balik. Alkisahnya puasa kali ni aku rasa agak makruh juga sebab aku banyak tidur siang huhuh

Makan pun banyak. Bila berbuka, berpinggan-pinggan nasik. Sahur la yang paling tak logik, kuantiti makan sahur tu sama macam berbuka. Biasanya orang takde selera masa sahur, tapi aku time tu sama lapar macam masa berbuka. Sebabnya satu je, si kecik tengah kuat menyusu, tambahan pula aku ni semula jadi mempunyai metabolisme badan yang tinggi. Jadi aku betul-betul mementingkan sendiri jugak la puasa tahun ni, makan banyak, tidur banyak. Kalau tidak, aku risau tak boleh survive puasa. Puasa pun asyik tahap makruh je kalau tak cukup support menyusu anak. Jadi, sekali lagi, husband yang memahami penyelamat keadaan. Makanya, kerana Alah aku berpuasa, kerana Allah juga la aku berbuka dengan berpinggan-pinggan nasik, kuih 4-5 ketul, sahur serupa berbuka, supaya penyusuan si kecik tidak terjejas...Allah Maha Pengasih dan Penyayang, Dia jadikan aku larat menghabiskan sebanyak-banyak makanan tersebut, malahan boleh aku kata tahap pembaziran makanan tahun ini berkurangan daripada tahun-tahun sebelumnya.

Alkisah juadah pasar Ramadhan tahun ni, aku juga betul-betul dapat mengurangkan pembaziran daripada banyak membeli makanan tahun ini. Ye lah, mungkin sebab tahun-tahun sebelum ni ialah tahun-tahun terawal aku berpuasa semenjak embracing Islam, maka aku dulu macam kanak-kanak riang. Pergi bazar tu, kalau boleh segala macam kuih dan juadah nak disapu. Lepas tu membazir sebab tak larat habis. Umpama episod si Upin dan Ipin memborong segala macam lauk ayam di pasar Ramadhan. Tapi tahun ni mungkin dah "besar" sikit, jadi aku tak menurut nafsu sangat nak membeli segala macam kuih atau lauk. Pendek kata, rilek sikit la berhadapan dengan makanan tu time2 puasa.

Adusss si kakak terkencing atas tilam la... Bereh dulu...