Tuesday, July 31, 2012

Lepat Pisang Mek

Assalamualaikum wbt
Post pertama dalam bulan Ramadhan hehehe

Lepat pisang..yup hari pertama puasa aku belajar cara-cara buat lepat pisang yang proper daripada mak mertua. Maka resepi ni aku ingin abadikan supaya next time tak lupa, maka jadi la Lepat Pisang Mek.

Sebelum ni pernah gak buat lepat pisang, tapi yang biasa-biasa aje, bukan sepenuhnya memenuhi selera Mr. Hubby. Jadi, untuk memenuhi selera beliau yang dibesarkan dengan resepi lepat pisang ibu beliau, dan juga insyaallah menggembirakan hati Mek pada bulan puasa pada tahun ini, maka hari pertama berpuasa di kampung aku manfaatkan dengan aktiviti buat kuih manis untuk keluarga. Apabila dah namanya Lepat Pisang Mek, mesti buatan Kelantan, dan semestinya kuih manis memang terkenal dari Kelantan, jadi lepatnya kena manis baru memenuhi piawaian hehehe

Kena sediakan dulu bahan-bahannya, baru lancar pembuatannya...

aku tak amik photo tengah2 masak, so ni photo lepat dari blog ini http://akuseekorkuman.blogspot.com/2011/03/lepat-vs-pengat.html   


Peralatan;
Daun pisang secukupnya (sudah dilap dengan kain bersih yang lembap dan dilayur di atas api untuk melembutkan daunnya, senang nak bungkus)
Periuk kukus

Bahan-bahan:
Sesikat pisang (dalam kes aku, pisang apa-apa pun ok asalkan pisang dah masak dan sedikit lembik)
Tepung gandum secukupnya (rasanya 500gm ok)
1/2 biji kelapa muda parut dicampur sedikit garam
Manisan gula kabong/gula melaka 200ml (ikut suka nak manis banyak mana, tapi jangan sampai batal puasa dalam dok testing tu)
Nak manis sikit lagi boleh tambah gula pasir (sesuka rasa, tapi kalau boleh tu kurangkan manis dalam makanan, tambahkan manis dalam senyuman)

Cara-cara:
1. Lenyek-lenyekkan pisang sehingga hancur. (iyeee, buang kulitnya dulu...)
2. Tambahkan tepung gandum. Gaul rata.
3. Tambah garam dan gula. Gaul lagi.
4. Masukkan kepala muda parut. Gaul rata lagi. Teksturnya haruslah lembut tapi tidak terlalu lembik.
5. Sendukkan dua sudu makan ke dalam daun pisang yang sudah dicarik dalam ukuran kiran-kira 15cm x 15cm.
6. Bungkus dan susun dalam periuk kukus.
7. Dah siap semua, bolehlah mula mengukus sehingga masak dan berbau wangi. Kira-kira 20 minit.

Sejukkan, boleh dihidang sambil tunggu berbuka puasa.

*Tips: Malas nak layur daun pisang atas api? Bersihkan daun pisang dan panaskan dalam microwave selama 10 saat. Buat satu-satu. Memang lembut, senang nak lipat, tiada bahagian terlepas. Petua ni aku discover sendiri bila dah balik try kat dapur sendiri.

Sorry takde gambar, apabila di dapur tak ingat dan tak sibuk nak ambil gambar pun. Ada gambar atas tu pun orang punya. Mana-mana yang berminat nak try dan nak clear lagi, ni aku kasi link blog sila klik kat sini. Nak step by step lagi clear, boleh search youtube ye dear :P

Alhamdulillah...selamat memikat selera suami...

*Kredit photo http://akuseekorkuman.blogspot.com/2011/03/lepat-vs-pengat.html

Sunday, July 8, 2012

Jururawat Solah (Part 1)

Di sebalik keinginan terkini hendak meletakkan jawatan profesion sekarang, aku masih juga rasa terbelenggu oleh satu hal.

Iya, tajuk entry sahaja sudah jelas, yakni 'Jururawat Solah'. Ikut la istilah bagaimana, jururawat solat, solah, ibadah, Islam, pokok asalnya saya masih terfikir-fikir tentang perkara itu.

Iya, macam-macam pernah didengar (atau mungkin tidak?) tentang Hospital Mesra Ibadah (Baby-Friendly Hospital boleh wujud, kenapa tidak Solah-Friendly Hospital?). Dua tahun lepas juga (2010) rasanya, ada rakan sekerja diarahkan oleh pihak atasan untuk menghadiri kursus berkaitan solat untuk orang sakit, peranan jururawat dan sebagainya yang menjurus ke arah hospital lebih mesra ibadah, suasana lebih Islamik kepada pesakit-pesakit dan juga ahli keluarga. Walaupun pada masa itu hati teringin sangat untuk menghadiri kursus tersebut, mulut seakan terkunci untuk meminta daripada bos. Mungkin kerana mengetahui natijahnya bekerja atas prinsip, "YANG MENURUT PERINTAH". Tambahan pula status sosial yang dipegang hanya SuJu (super junior), jadi kemungkinan untuk bersuara itu amat tipis, apatah lagi setelah melalui pengalaman yang amat mengesankan yang golongan SuJu ini TIDAK  harus menyuarakan apa-apa, yakni menurut sahaja dek pengalaman kerja yang hanya sekelumit. Kebernasan sesuatu idea malah pertanyaan boleh jadi hanya sesuatu yang idealistik, tetapi jauh realistiknya gara-gara kurang pengalaman. Jadi, baik sahaja jangan memberi bunga kepada kera. Simpan sahaja bunga tersebut, jaga elok-elok, mungkin ada orang lain yang lebih berhak, yang barangkali lebih menghargai.

oh hentikan rungutan..

Berbalik kepada topik, mungkin bagi sesetengah yang peka tentang ibadah sewaktu sakit pernah terdengar Hospital Kampung Baru, Kuala Lumpur yang boleh dikatakan mempelopori kepekaan solat semasa sakit dan adanya jururawat khusus untuk mengingatkan solat. Aku belum berkesempatan lagi untuk melawat hospital tersebut untuk melihat sendiri pelaksanaannya.

Terbelenggu. Ya, terbelenggu. Hatiku menjauh daripada bidang kejururawatan atas banyak faktor. Malas nak cerita satu-satu, bagi yang mengikuti blog ini mungkin mengesan sedikit di sana sini luahan perasaan, kekecewaan dan harapan serta hujah-hujah yang adakalanya berbunyi dangkal, sangat tidak matang. Ya, ini blog saya, apa yang saya taip dalam setiap entry blog adalah perjalanan pemikiran saya. Mungkin dulu fikiran  saya begini, sekarang fikiran saya begini. Dan saya tidak terobligat untuk menukar setiap entry menurut pemikiran terkini.

hmmm...entry kali ini menggunakan kata ganti nama "saya". Saya dalam mode rasmi :-) .

Iya, hati semakin tawar terhadap nursing kerana naturenya yang hostile (ironi bukan?) ditambah juga profesion yang dipegang bukanlah selayaknya dipegang akibat kurang pengalaman yang meyakinkan. Meyakinkan diri sendiri sudah cukup sukar, golongan SuSe pula sangat tidak yakin dengan kebolehan golongan muda. Sindrom ini memang sentiasa ada di mana-mana bidang, bukan dalam nursing sahaja. Cuma kiranya mungkin tepu di Malaysia, apatah lagi nursing di Malaysia yang bertunjangkan colonial. Tanda aras pengalaman adalah kuantiti. Mungkin disebut-sebut kualiti, pada penghujungnya tetap juga kuantiti.

Iya, nursing seharusnya lembut kepada pesakit, tetapi realiti di sebaliknya adalah hostile di kalangan 'penganut'nya sendiri. Mungkin hormon estrogen terlalu tinggi kerana dikuasai oleh golongan wanita (sekadar spekulasi, tiada kajian ilmiah dirujuk). Akan tetapi degupan Islam yang semakin mengiringi iman sering mengetuk-ngetuk hati yang telah tawar.

Kenapa? Tiga perkara sebelum mati yang aku ingin capai, anak yang soleh dan solehah, ilmu yang berguna, sedekah amal jariah.


Part 2
Mode "aku".
Aku semakin mendekati peranan ibu kepada anak-anak dengan kesanggupan meninggalkan profesion sekarang (iya, aku pengajar nursing yang sedang bercuti tanpa gaji yang panjang, dalam proses berkira-kira hendak berhenti kerana sukarnya juggling antara kebajikan anak-anak dan rumahtangga dengan kerja kerana nature profesion suami yang sering ke luar negara berbulan lamanya). 

Saturday, July 7, 2012

Macam-macam (Ceritera Farmville, Empire Earth, Bisnes Online, Saham Akhirat)

Setengah Syaaban sudah berlalu, lagi setengah Syaaban, Ramadhan bakal menjelma.

Buat masa sekarang, aku selesa duduk di rumah, melayan karenah anak-anak, sambil melayari facebook melayan kata-kata motivasi mahupun foto poster berupa peringatan, ilmu atau nasihat yang dikongsi oleh sahabat dalam friendlist. Sambil-sambil tu, aku ni masih lagi gamer tegar Farmville...satu kekurangan dari segi ketagihan yang melampau terhadap game...mungkin dapat diatasi suatu hari nanti sekiranya memiliki tanah yang real di halaman rumah untuk bercucuk tanam. Sekarang ni masih duduk di apartment, jadi tanah yang boleh didapati pada paras ini hanyalah dalam pasu bunga.. Berdasarkan pengalaman menanm bunga pada tahun-tahun lepas, apabila rumah ditinggalkan kosong sahaja tatkala balik bercuti ke kampung, baik ke Termeloh mahupun nun menyeberangi Laut China Selatan ke Sarawak, mati kering kontang lah tanaman akibat kekeringan dek tiada penyiraman apatah tempias air hujan pun tidak kena. Hendak mengharapkan embun di Kuala Lumpur, sebagaimana tidak sucinya kota ini, begitu juga lah embunnya yang bersalut debu, kering dan berjerebu... Jadi, buat masa sekarang, aku masih melayan ketagihan itu kerana belum punya cukup kekuatan melawannya.

Mungkin kerana semasa kecil, aku terdedah kepada kedua-dua aspek Farmville, iaitu berkebun sayur dan juga tv game, apabila disatukan, jadi combo Farmville memberi kenangan zaman kecil yang tidak tercapai pada umur sekarang. Berkebun sayur semasa kecil memberi aku nilai sentimental yang tinggi, iaitu emak dan sekolah. Aku selalu berkebun sayur dengan emak di halaman rumah semasa kecil-kecil dahulu. Bertanam kangkung, ubi, jagung, petola, dan macam-macam lagi. Paling seronok tengok terung berbuah, bagi budak sekolah rendah pada masa itu, pencapaian aku berjaya menghasilkan pokok terung berbuah sangat memuaskan hati, walaupun pada masa itu bukannya gemar sangat pun memakan terung. Kedua, sekolah. Sekolah rendah aku dulu menjalankan projek pertanian sekolah. Memang seronok beramai-ramai mengerjakan kebun sekolah. Hasilnya ditimbang dan dijual. Hujung tahun, siapa yang mengeluarkan hasil timbangan sayur tertinggi akan mendapat penghargaan. 

Game pula, sejak kecil terdedah oleh bapa saudara dengan game tv. Galaga, galaxy, bomberman, popeye dan macam-macam lagi. Sekarang ini senang sahaja untuk download game-game tersebut dari internet.
Selepas itu, beralih pula ke era computer game. Game paling aku minat, boleh aku kata sampai sekarang aku minat lagi ialah Empire Earth kerana ia sejenis permainan strategi (walaupun sekarang lama dah tak main EE). Memang best betul la explore, cari resource, buat settlement, bina komuniti, kampung, seeterusnya bandar. Sambil itu jangan lupa pertahanan sebab musuh boleh menyerang bila-bila masa sahaja. dah kaya, boleh la kumpul dana untuk menambah kekuatan tentera untuk menyerang pihak musuh. Tapi oleh kerana aku ni jenis tak sampai hati nak bunuh rakyat, maka aku buat banyak-banyak priest, jadi boleh convert mana-mana rakyat biasa mahupun tentera yang boleh diconvert daripada musuh kepada rakyat sendiri. 
Setelah ekonomi dan pertahanan kuat, barulah boleh bina monumen-monumen yang menambah nilai dan bonus serta kekuatan negara. Cuma aku tak pernah main mode campaign, sebab kena pandai politik. Bab politik ni, usahkan negara, politik kerja pun aku teruk dikerjakan.

~Ibu saudaraku, A'ee Choo dengan sepupuku, Ethan pada Krismas 2010 (sekadar  nak letak gambar :D )~

Sesuatu yang baru berlaku dalam hidup, seperti dalam entry sebelumnya, aku mula menjalankan bisnes secara online yang diberi nama Auliya Apparel, sempena nama anak ketigaku, Auliya Rahima. Alhamdulillah, berkurang jugalah aktiviti tegar yang melalaikan, aktiviti sia-sia lagi lagha iaitu bercucuk tanam secara maya aka Farmville. Duit pun dapat, walaupun tak mewah mana, tapi kepuasannya tinggi berbanding aku kerja makan gaji. Walaupun sebelum ini hujung bulan gaji dan elaun beribu, tapi hati macam kosong. Mana nak berkatnya, kerja dengan hati separuh ikhlas. Amanah tak dipikul dengan baik, ada sebahagian tu agaknya gaji buta. Untung bisnes walaupun sedikit dan tak tetap, aku rasa benar-benar daya usaha sendiri. Jadi perasaan bersyukur tu macam lebih sedikit selain kepuasan atas sebab minat yang tinggi.

Pun begitu, aku bersyukur juga dulu atas rezeki yang aku dapat daripada makan gaji. Cuma pada umur sekarang, rasa terlewat betul untuk memulakan sesuatu atas sebab minat yang boleh dibawa sehingga tua...insyaalllah dipanjangkan umur. Itu yang buat aku terasa mahu resign sahaja, ada baiknya jawatan itu diberi kepada mereka yang benar-benar minat dan layak.

Keinginan yang tinggi, diiringi dengan kelayakan serta niat kerana Allah, insyaallah amanah kerja dapat dipikul dengan baik. Memiliki hanya salah satu aspek, agak sukar untuk mengekalkan momentum keikhlasan dalam memikul amanah. Jadi, dari segi keinginan itu, aku "kurang" teringin hendak meneruskan profesion tersebut. Tambahan pula, dari segi  pengetahuan, aku rasa memang below par, masih sangat rapuh dan goyah.

Enggan menyahut cabaran? Ya, aku enggan menyahut cabaran yan gtidak wajib bagi aku. Cabaran terbesar aku ialah menjaga rumahtangga dan didikan anak-anak dalam keadaan ilmu dan akhlak yang aku yang serba kekurangan, yang masih merangkak-rangkak. Anak sulung lagi maju bacaan iqranya berbanding aku. Jadi bagaimana aku akan mendidiknya menurut anjuran Quran dan Sunnah sedangkan aku sendiri masih belajar tahap "tadika" lagi akan hal-hal tersebut. Pendek kata, biarlah aku lepaskan profesion fardhu kifayah tersebut untuk diteruskan oleh orang yang lebih layak dan berkemampuan. Aku hanya mahu mendakap profesion wajib ke atasku sekarang sebagai isteri dan ibu. 'Kukuhkan ilmu dan akhlak', itu kata Ustaz Hasrizal dalam status fbnya. Biarlah apa orang nak kata, aku mahu saham dunia akhirat dari segi anak yang soleh solehah insyaallah. Sedekah amal jariah pun terkial-kial lagi. Ilmu yang berguna, biarlah ilmu yang aku mantap, sahih dan fasih dalam sanubariku. Paling aku tak suka, merungut banyak dalam bekerja.


Aku target by umur 40-an, patutnya aku dah kukuh dalam bidang yang aku minat. Jadi umur 30-an sekarang tinggal sedekad sahaja lagi untuk mengukuhkan diri dalam bidang kegemaran. Kerja yang aku makan gaji itu, minatnya pada tahap yang kurang, jadi apa-apa cabaran besar di tempat kerja, mudah sahaja buat aku kecewa dan putus semangat. Tambahan pula, buat masa sekarang, aku rasa best sebab banyak masa dengan anak-anak, mengaji sikit-sikit, solat pun tak terkejar-kejar, dapat masak untuk keluarga. Tambahan pula dengan ada seorang sedara yang aku bawa untuk membantu kerja-kerja di rumah, membuatkan  langkah aku untuk memulakan bisnes online lebih lancar...alhamdulillah...kepada Allah juga dipulangkan segala tahmid..

Tuesday, July 3, 2012

Apabila anak menegur... (cover version Ustaz Hasrizal)

Dialog ini berlaku semlaam. Aku dah letak status ni kat facebook, tapi gatal juga pagi ni nak letak dalam blog. Rasa sangat penting untuk aku ingat.

Tempat: Depan desktop, di rumah.
Waktu: Sedang menunggu nak hantar Acha ke prasekolah.
Lebih kurang begini la dialognya, tapi ini la dialog yang aku boleh ingat sebijik-sebijik ayatnya...

Acha: Mama, ada tak syurga?
Mama: Ada.
Acha: Mama, neraka pun ada tak?
Mama: Ada.
Acha: Takutnya...nanti api kena kat kakak, sakitnya. Takutnya.
Mama: Aaa???
Acha: Nanti papa pun masuk. Takutnya. Jahatnya syaitan.
Mama: ... (speechless)

Ada beberapa lagi dialog Acha sejak akhir-akhir ni yang melibatkan syurga, neraka, pahala, dosa, syaitan...alhamdulillah dia faham apa yang dipelajarinya di sekolah yang menerapkan pendidikan Islam (Smart Soleh Preschool).

Yang aku tak boleh tahan tu apabila kakak, si Acha gaduh dengan adik, si Acheh yang suka menyakat kakaknya, dialognya pasti lebih kurang begini:

"Taknak lah kawan Acheh...Acheh kawan sajalah dengan syaitan..." huuuu...

Ya Allah, janganlah Engkau biarkan anak-anakku berkawan dengan syaitan...aminnnn...