Thursday, April 15, 2010

Halo effect...

Dalam perjalanan balik dari Tesco dengan famili dalam jam 1045pm tadi, lagu "Halo" nyanyian Beyonce semacam memberi aku satu perasaan yang hiba, menyentuh perasaan yang terdalam. Susah nak tafsirkan perasaan tu, tapi melodi dan muziknya seperti menumbuk-numbuk perasaan. Yang pastinya, perjalanan singkat dari Tesco ke rumah yang hanya mengambil masa selama 10 minit itu seperti 20 tahun lamanya, yang berputar kembali.

Mendengar lagu itu, me"rewind" masa dalam otak fikiran. Seperti kereta yang dinaiki bergerak reversed, berjalan reversed, mengulang kembali segalanya dalam keadaan seolah-olah button rewind ditekan oleh seseorang, dan pita hidup aku diulangtayang , bergerak seperti wayang yang di"backward"kan. Sekian lama sudah perjalanan hidup, sekarang sudah memiliki sepasang anak, suami, kerjaya, kembali ke jangka waktu petang tadi yang dipenuhi meeting yang sekurang-kurangnya kurang tegang berbanding yang lepas-lepas (alhamdulillah), hari semalam, beberapa hari lepas, minggu lepas, bulan lepas, bulan-bulan lepas, tahun yang lepas-lepas, sepuluh tahun yang lepas...

Aku melihat diri aku mengecik...kembali ke alam daripada kini berkerjaya, kembali ke bahagian menjadi Yg Berbahagia Suri Rumah, baru menjadi ibu, ke alam baru berkahwin, alam bercinta, alam putus cinta, alam mula-mula bekerja, konvokesyen, alam belajar, sekolah menengah, sekolah rendah...terbayang wajah-wajah yang dirindui, baik yang masih hidup, mahupun yang sudah meninggalkan kita...terbayang permainan kecik-kecik dahulu, terbayang bagaimana semasa kecil dulu takde prejudis dengan sesiapa, bergaduh dengan kawan-kawan sekejap saje. Tiada masalah yang dibawa ke tempat tidur. Esok adalah hari yang bahagia. Tidak sabar menanti esok hari, tiada perasaan bimbang dan tidak seronok apabila bangun pagi. Sekarang dah besar, setiap pagi dipenuhi harapan, dan juga diiringi kebimbangan. Kenapa sekarang tidak mampu untuk berfikiran seperti zaman kanak-kanak dahulu? Tiada prejudis? Tiada preconcept? Lebih bahagia? Setiap hari adalah peluang untuk memperbaiki diri, berbeza dengan zaman dewasa, kemungkinan untuk memperbaiki diri itu sentiasa ada, tapi adakah peluang diberi kepada kita? Kesalahan tetap diingati, dan dibawa. Kanak-kanak lain keadaannya, semua lupa. Esok lusa berkawan balik, ketawa, bahagia.

Aku melalut-lalut ni. Tetapi pokoknya membuat aku terfikir, untuk apakah hidup kita ini? Apakah sebenarnya yang kita kejar untuk hari esok?

Dalam Islam, tujuan manusia di dunia ialah untuk tiada lain kecuali beribadah kepadaNya. Tetapi, melihat kembali kehidupan, adakah segala yang kita risaukan, bimbangkan, adalah kerana Dia? Adakah usaha kita, kerana Dia? Atau apakah yang kita kejarkan? Sehingga ada masanya aku alpa, aku lupa, semuanya hanya sementara. Adakah aku akan bawa balik semua ini ke alam kubur, alam akhirat nanti? Jadi, aku memikirkn seglaanya tergantung kembali kepada niat. Apakah niat sebenar aku atas segala usaha mati-matian? Pangkat? Nama? Gred pangkat atau gaji? ...atau... Pahala? Ibadah? Kerana Allahkah?

Diputarkan kembai masa, apakah yang membuat aku tersenyum? Segalanya adalah nikmat. Nikmat yang bukannya memiliki harta yang berkoyan, kemasyhuran dan segala-galanya, tetapi perkara-perkara yang membahagiakan, tetapi seringkali kita cenderung untuk take for granted dalam mengejar sesuatu yang kita rujuk sebagai "kejayaan". Keluarga, kawan-kawan, jiran-jiran, memancing ikan puyu, bermain sampan, mandi sungai, mandi laut, mengutip buah getah, memanjat pokok jambu batu...Nikmat-nikamt begini, yang apabila dikenang kembali, seperti sesuatu menumbuk dalam hati. Rindu...ya...itulah perkataannya... Aku rindu pada masa lalu, tetapi pada masa yang sama, aku tersedar, masa sekarang bakal berubah menjadi masa lalu pada masa akan datang. Adakah aku menikmati masa sekarang dengan sebaiknya sebelum masa datang mengambil alih?

Me"rewind" masa...kembali ke alam kanak-kanak, hingga ke perkara pertama yang kita boleh simpan dalam memori yang hingga kini kita dapat ingat...membuat aku tertanya-tanya akan halnya - apa yang terjadi dalam tempoh masa yang kita tak mampu ingat lagi? Semasa bayi? Semasa dalam kandungan ibu? Semasa belum ditiupkan ke dalam rahim?

Aduhhh..kembali ke persoalan...untuk apa aku dilahirkan? Dan kenapa aku perlu mati? Kenapa aku perlu melalui semua ini? Semua nikmat, semua kepayahan, diberi bakti, diberi kasih sayang, diberi kebencian, diberi hasad dengki?

Untuk apakah hidup aku ini?

Secara teorinya aku tahu...
hidup untuk beribadah kepadaNya
selama hidup jadilah manusia yang bermanfaat kepada manusia lain...
tidak penting tidak mengapa...
yang penting Allah tidak murka...

Tapi secara realitinya...
aku bimbang dengan tanggapan manusia...
adakalanya sukar untuk lebih takut kepada Allah berbanding takut kepada manusia...
aku hanyut dengan tawaran dunia...
terbawa-bawa perasaan ingin menjadi istimewa - nafsu...

Untuk apakah hasil semua ini?
Solat bagaimana?
Tonggang tonggek, tapi isinya macam pencuri...
Macam ayam mematuk makanan...
Mana khusyuk?

Adehhhh...
Ingatlah wahai "aku"...
Jangan takut akan dunia

Dan semasa aku menaip entry kali ini, tidak aku nafikan, dalam hati terdetik...
Ya Allah, aku takut neraka, tapi aku tidak juga layak akan syurga (macam lagu Andaiku Tahu itu laaa)...tapi aku mohon, syurgaku selain segala nikmat yang Kau janji dan berikan, buatkanlah jua ia Ya Allah, dipenuhi orang-orang kesayanganku, ahli keluargaku, kawan zaman kanak-kanak, jiran-jiranku...jalan kampung yang berdebu, kolam Nek Kin tempat bermain pancing ikan puyu, hutan belukar tepi jalan tempat kutip buah getah buat main batu seremban...bawakan aku kembali ke zaman, tempat dan kenangan yang aku rindu...kerana sekarang kerinduan itu semacam syurga yang aku rindu...

No comments:

Post a Comment