Thursday, August 6, 2009

Tentang Malam Nisfu Syaaban dan Tentang Mati...

Malam ni malam nisfu Syaaban. Entah macam mana, hikmah Allah, aku tiba-tiba banyak teringat tentang mati. Sebelum ini selalu juga terlintas dalam fikiran, tetapi pada malam ini ingatan tentang mati itu tiba-tiba sangat kuat dan banyak sehingga sesudah selesai solat Isyak pukul 1 pagi, jantungku berdegup kuat dan badanku seakan menggeletar. Tau-tau aku menangis dengan sungguh-sungguh.
Aku pasti kebanyakan kita terfikir yang kita menjalani kehidupan sehingga tua dan berusaha mencari cara hidup yang kita impikan - belajar, bekerja, berkahwin, ada anak, cucu, tua... Ironinya, hari-hari kita tengok dalam berita tv dan baca dalam paper tentang kisah-kisah kemalangan, mangsa H1N1 meninggal dunia, perang, feri karam, kapal terbang crash dan sebagainya, dan kita berasa ngeri, sedih, marah dan berbagai-bagai emosi tentang betapa bernilai dan tidak bernilainya nyawa manusia... Apabila dirindui, disayangi, diratapi...kita melihat akan tidak ternilainya nyawa. Mati katak, mati dibunuh, bayi dibuang, mati dibom...aduhhh betapa macam tidak berharga pula nyawa manusia itu. Baru-baru ini saudara dekat mak meninggal dunia pada umur yang muda, 33 tahun, lelaki, bujang, dan anak tunggal, satu-satunya harapan si ibu. Cukup menginsafkan.
Tetapi jarang kita terfikir bahawa kita boleh menjadi sebahagian daripada kisah-kisah itu. Bahawa tiada siapa tahu dan tiada siapa dapat menjamin samada pada dua puluh tahun, sepuluh tahun, setahun, sebulan, seminggu, sehari, sejam, seminit, sesaat akan datang, adakah kita masih dapat bernafas seperti saat sekarang, dan bilakah ajal maut mendatangi kita. Bagaimana dengan impian kita hendak melihat cucu, menjadi tua dan sebagainya? Hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Aku terfikir...
Adakah kini aku hidup dengan sepenuhnya, menggunakan tenaga dan mindaku sepenuhnya untuk perkara baik dan bermanfaat kepada diri, keluarga, kawan-kawan dan manusia sejagat? Tidak bermalas-malas membuang waktu dan bila tiba saat ajal itu, menyesali masa-masa yang berlalu?
Adakah aku telah berbaik-baik dengan semua orang dan mendapat kemaafan daripada mereka yang aku pernah sakiti? Adakah semua benci dan dendam itu berbaloi?
Adakah aku hidup berpandu agama, bukannya pada duit, status, nama dan apa-apa sahaja keduniaan membuat aku melupai Tuhanku? Adakah semua titik-peluh dan segala kerisauan yang menyesakkan dada itu berbaloi jika kerana tiap-tiap hal duniawi itu pada penghujungnya tidak menemani aku menemui Allah?
Adakah aku berbakti dan menunaikan kewajipan, tanggungjawab dan amanahku dengan sepenuh daya upaya terhadap suami, anak-anak, keluarga, kawan-kawan dan manusia-manusia lain?
Adakah aku bersedia untuk menghadap Tuhan - cukup dan cukup istiqamahkah amal ibadahku, ikhlaskah ibadahku, selama ini? Adakah aku akan muflis di akhirat nanti akibat dosa menganiaya dan menzalimi orang lain?
Adakah aku mendapat keampunan dan keredhaan Allah selama mana peluang yang diberikan-Nya sepanjang hidupku? Ke mana tujuku - syurgakah? atau neraka?
dan...
Adakah selama ini aku benar-benar mengenal dan mencintai Allah, mengingati-Nya setiap waktu, dengan penuh rendah diri, ikhlas, kerdil...dan bergetar hati merindui-Nya sehingga tidak takut menemui-Nya...?

Membuatkan aku teringat satu bait lirik lagu dari satu band Indonesia...

Andai kutahu kapan tiba ajalku...

No comments:

Post a Comment