Friday, March 20, 2009

Perkembangan anak : Acheh (0 - 2 bulan)

Perubahan berat dan kulit
Berat Acheh selepas ditimbang semalam di klinik kanak-kanak Dr. Syed di KJMC ialah 4.7 kg, naik lagi 100gm daripada minggu lepas. Berat dia semasa lahir ialah 2.5kg, bermakna dah naik 2.2kg...alhamdulillah... Dia pun nampak makin tembam dan kulit dia sudah mula bertukar gebu berbanding kulit semasa lahir yang agak nipis macam kertas plastik pembalut makanan.
Perubahan najis
Pagi tadi selepas memberi ubat demam, aku tukar pampers dia, ada berak sikit. Pagi tadi tak berak lagi, lepas bagi ubat tadi lepas menyusu, baru ada berak. Normal la, macam kita jugak lepas makan nasik kenyang-kenyang kadang-kadang rasa nak berak. Rupa najis pun normal untuk bayi yang menyusu badan. Sejak dua tiga minggu ni (selepas umur 1 bulan) Acheh berak waktu siang je, dah tak berak malam, jadi agak menyenangkan la bagi aku nak tukar pampers dalam keadaan mengantuk. Tukar pampers subuh pagi pun sebab dah penuh dengan kencing. Kesian pulak tengok anak tak selesa dan tak nyenyak tidur. Hal ini sangat penting kerana tidur penting bagi bayi untuk perkembangan otak dia selepas seharian menyerap data-data di persekitaran semasa sedar, dia amat perlukan tidur untuk memproses data-data tersebut menjadi maklumat yang berguna untuk 'pemwayaran' saraf-saraf otak dia.
Perubahan motor
Dalam minggu-minggu selepas aku habis berpantang selama 40 hari selepas bersalin, Acheh sudah agak kuat untuk mengangkat kepalanya, tidak lagi terlentok-lentok seperti mula-mula ketika Papa meniarapkan Acheh ke atas dadanya. Tangan dan kakinya juga sudah sangat aktif bergerak-gerak, sesuatu yang digelar Papa - 'berenang' atau 'berkayuh'.
Selain itu, Acheh juga akan menggerak-gerakkan bahunya untuk cuba memusingkan badannya, terutama ke arah puting apabila hendak menyusu badan.
Acheh juga sudah 'jumpa' tangan kanannya. Dia asyik cuba memasukkan tangan kanannya yang dipakaikan sarung tangan (mitten) ke dalam mulutnya hingga basah-basah mitten tu. Disebabkan kelihatan masih cuba mengawal tangannya, Acheh juga cuba menggerak-gerakkan kepalanya dan berpusing ke arahnya tangan kanannya dalam percubaan untuk memasukkan tangan ke dalam mulutnya.
Perubahan komunikasi, pendengaran dan penglihatan
Dalam seminggu ni juga aku perasan Acheh mula 'bercakap'. Dia cuba berkomunikasi dengan persekitarannya dengan mengeluarkan bunyi-bunyian dari suaranya atau dalam bahasa Inggerisnya, 'cooing'. Kalau dalam minggu lepas dia sudah pandai senyum kepada mama dan papanya, minggu ini dia mula berinteraksi dengan kami pula, lebih-lebih lagi apabila kami mengagahnya. Dia juga akan memberi reaksi setiap kali aku membuat bunyi-bunyian dekat mukanya. Acheh juga mudah terkejut dan terbangun daripada tidur setiap kali terdengar bunyi yang agak kuat. Tidak seperti semasa 2 minggu pertama kelahiran, Acheh boleh tidur nyenyak selama 4 jam. (Hal ini agak kurang menyenangkan hehehe tetapi aku bersyukur, sekurang-kurangnya itu menunjukkan pendengarannya baik).
Pagi ni semasa aku meletakkannya dalam katil bayi utk menukar pampers, Acheh mula menangis sebaik aku membuka pampers yang dipakainya. Tetapi sebaik sahaja dia ternampak mainan patung (soft toys) yang tergantung di atas kepalanya (ada gajah, singa dan kucing), dia tiba-tiba senyum dan mula 'cooing' menegur mainan-mainan tersebut. Aku pun menggoyang-goyangkan mainan itu untuk melihat reaksinya, dia semakin seronok dan aneh melihat mainan tu tiba-tiba bergerak. Aku pun memutarkan kunci satu lagi mainan berbunyi yang apabila berbunyi akan memusingkan mainan berbentuk bintang dan bulan di atas kepalanya. Mainan itu akan mengeluarkan bunyi merdu yang mengasyikkan bayi sebab Acheh nampak sangat asyik mendengar bunyi dan melihat gantungan mainan yang berpusing-pusing di atas kepalanya dan serta-merta berhenti menangis, tetapi serta-merta juga menangis apabila mainan tersebut berhenti berbunyi dan berpusing. Dia akan melayan mainan itu sampai dia jemu, barulah dia menjerit menangis minta dilayan sama ada diangkat atau kita 'berborak' dengannya. Acheh mendapat mainan daripada Anmum itu semasa dalam kandungan lagi, iaitu semasa aku pergi ke berjumpa Dr. Fatima Najla, doktor sakit puan di KJMC untuk pemeriksaan terakhir kandungan sebelum aku melahirkan Acheh seminggu kemudian.
Nota: Sebagai ibu, walaupun sudah mempunyai anak kedua, aku tetap teruja memerhati perkembangan setiap anak-anakku, walau tidak dinafikan tahap keterujaan itu lebih tinggi semasa anak pertama berbanding yang seterusnya, sebab semasa anak pertama, itulah pertama kali aku melihat perincian setiap perkembangan. Jadi, bezanya pada anak kedua dan seterusnya, aku sudah dapat mengagak apa seterusnya yang akan berlaku, cuma perbezaan setiap anak adalah secepat mana tahap perkembangan dan masing-masing juga memiliki aspek kelebihan tersendiri, bukan setakat cepat berjalan atau cepat bercakap semata-mata. Ini kerana otak manusia jauh lebih banyak potensi daripada yang kita jangka...
Hmmm...aku tak sabar menanti perkembangan Acheh seterusnya....dan pastinya aku seronok untuk berkongsi pengalaman ini bersama-sama pembaca blog ini di luar sana...

No comments:

Post a Comment