Saturday, September 5, 2009

Cinta hakiki...

Aku pernah ditanya seseorang - adakah aku sudah menemui cinta hakiki? Siapa seseorang itu, aku tak tahu. Yang aku tahu, pastinya seorang Muslim. Apa tujuan dia bertanya, aku tak tau dan tak ingin buruk sangka (walaupun terdetik juga curiga, apekehalnya tetiba nyebuk).
Alkisahnya begini...
Aku tengah chit-chat la dengan seorang member, tentang macam-macam. Masa tu aku baru-baru lagi convert, so iman dan ilmu pun tahap baru-baru jugak la. Apa yang aku rasa, itulah yang aku rasa. Tiada istilah tertentu dalam Islam yang aku tahu merujuk kepada apa yang aku rasa pada masa itu.
Dalam dok ralit bercerita tentang kisah menemui nur, dan bertemu jodoh dengan suami, aku menyebut la tentang berjumpa jodoh dan cinta. Tetiba seseorang ini menyelit, "Bagaimana dengan cinta hakiki? Sudahkah bertemu?". Aku kaget dan terkesima la juga dengan soalan mendadak begitu. Aku ketawa kecil je la, aku cakap bersyukur la jumpa husband yang sememangnya jodoh aku tak kira la macam mana sulitnya untuk terjadi hubungan akad nikah itu antara kami. Tetapi, jodoh itu rahsia Allah, sudah ditakdirkan aku dan husband ada jodoh, dan Allah permudahkan segalanya...alhamdulillah...
Tetapi persoalan itu aku terus bawa sehingga ke hari ini. Semacam mengekori hari-hari, sebab aku gelisah ingin tahu apa maksud sebenarnya istilah cinta hakiki itu. Dalam pada itu, masa pun berlalu, aku berusaha menambah ilmu agama dalam jiwa, aku terjumpa la istilah cinta hakiki itu. Ohhh....baru la aku tahu apa maksud orang itu. Sebenarnya persoalan itu sudah lama bersarang dalam jiwa, cuma istilahnya sahaja aku tak tahu. Sekian lama aku dapat rasa aku sering bertanya diri sendiri - ikhlaskah cintaku kepada Allah? Cinta dengan sungguhkah aku kepada Allah?
Aku tertanya juga, dalam nada apakah orang itu bertanya. Sekadar ingin tahu kah? Atau turut sama bersyukur kerana aku menyertai seagama dengannya kah? Atau dengan nada sinis, curiga tujuan sebenar aku memeluk Islam - kerana nak kahwin, atau kerana Islam itu sendiri? Nada yang terakhir itu adalah menurut fikiran musykil aku la. Ada prasangka sikit.
Mungkin bagi orang itu, aku belum menemui cinta hakiki - yakni cinta kepada Allah. Bagi aku, walaupun sekarang aku tahu dah istilah cinta hakiki itu dan maksud orang itu, aku masih belum mampu menjawab dengan sejujur-jujurnya. Ini kerana hal ini bukan berkaitan perkataan semata-mata. Hanya iman yang mampu menjawabnya. Sebab aku rasa jika aku memandai-mandai cakap aku ni memeluk agama Allah ini kerana Allah semata-mata, aku takut. Takut jika datang ujian kelak, iman aku tidak mampu bersaksi. Mungkin betul katanya, aku berani kerana ada bakal suami, ada kakak angkat, ada suasana tempat kerja yang sangat menyokong, ada PERKIM, aku berani kerana itu, aku berani kerana ini. Aku sendiri pun tak pasti. Cuma, aku sudah dapat rasa hidayah itu datang jauh lebih awal, tetapi soal nekad atau tidak, aku tak pasti. Aku cuma fikir, masanya sudah tiba, Allah sudah setkan perjalanannya begitu, maka aku menyambutnya dengan jiwa, hati dan akal terbuka.
Sehingga kini aku bersyukur soalan itu datang. Kerananya aku sering muhasabah adakah aku ikhlas kerana Allah, atau ada sebab-sebab lain. Adakah aku riak, munafik dan sebagainya yang akhirnya akan memusnahkan aku. Adakah aku beribadah, buat begitu begini kerana cuba meyakinkan orang sekeliling bahawa aku benar-benar cintakan Islam, atau meyakinkan diri sendiri, ataupun semata-mata kerana Allah. Ya Allah, jauhkanlah aku daripada sifat riak dan munafik, dan jauhkanlah aku daripada sifat ujub dan takbur...
Adakala aku terganggu sedikit dengan soalan tersebut, seperti 'kepulangan' aku ke agama fitrah, agama Allah ini tidak dsambut mesra, tidak dirai-raikan oleh saudara seiman. Seperti aku dipandang sinis, skeptik. Aku jadi sedih dan kecewa juga. Tetapi cepat-cepat aku mengingatkan diri, andai aku ikhlas, aku tidak perlu sedih dan ambil pusing kata-kata orang. Ini adalah urusan Allah ke atasku. Cinta kepada Allah, hatta perasaan cinta itu sendiri tidak akan datang sendiri jika tidak kerana Allah, jika bukan kerana Allah terbitkan rasa itu. Hanya Allah yang Maha Mengetahui isi hatiku. Malah aku sendiri tidak tahu isi hatiku yang paling dalam. Wallahualam.
Tentang ikhlas mencintai Allah, jika tidak sepenuhnya pun, aku memujuk diri, sekurang-kurangnya aku ada niat dan berusaha ke arah ikhlas, insyaAllah, dan aku berharap Allah akan menolongku. Dalam pada itu, aku harus siap memerhati dan menghadapi ujian dan dugaan yang tiba untuk menguji adakah aku ikhlas cintakan Allah atau tidak. Dan jika ya, sedalam manakah, seikhlas manakah. Atau adakah aku akan kecut perut, atau lari, atau berdusta? Dan jika tidak, Allah tolonglah aku kembali kepada-Mu. Aku berharap dari ujian dan musibah itu nanti hikmahnya dapat menambahkan cinta kepada Allah. Tetapi, Ya Allah, jangan diuji aku hingga aku rebah dan terpesong dari jalan-Mu...
Dan pada malam ini, dalam bulan Ramadhan yang penuh berkah, aku berdoa...
Ya Allah, dakaplah aku dalam rahmat-Mu. Ameen.

No comments:

Post a Comment